Wednesday, July 15, 2009

Umur persaraan genap 60 tahun

  • Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan mengumumkan umur baru persaraan yang berkuat kuasa 1 Januari 2010.
  • Mulai tarikh itu, umur persaraan mandatori bagi rakyat dan penduduk tetap Brunei yang menyertai Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Skim Persaraan Caruman Tambahan atau Supplemental Contributory Pension (SCP) akan dilanjutkan sehingga genap 60 tahun.
  • Baginda Sultan juga berkenan mengumumkan penubuhan SCP sebagai tambahan pada TAP yang ada sekarang dan melalui skim baru itu, para pesara yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan akan menerima pendapatan tetap minimum bulanan sesudah mereka mencapai umur persaraan mandatori kelak.
  • Skim itu juga dilengkapi dengan perlindungan 'survivorship' bagi menjamin tanggungan peserta, sekiranya mereka meninggal dunia sebelum persaraan mandatori, titah baginda dalam Titah Khas malam ini sempena sambutan ulang tahun ke-63 Hari Keputeraan Baginda esok.
  • Seperti skim TAP, skim SCP ini juga akan meliputi semua rakyat dan penduduk yang bekerja di sektor awam dan swasta, malah akan diperluaskan kepada sektor informal, titah baginda.
  • Setiap peserta dan majikan masing-masing akan dimestikan secara undang-undang membuat caruman bulanan yang ditentukan dan sebahagian caruman pula akan digunakan sebagai bayaran sumbangan perlindungan 'survivorship' tetapi untuk tidak membebankan majikan, Baginda Sultan bertitah perkiraan jumlah caruman yang ditanggung oleh mereka akan dihadkan kepada jumlah yang berpatutan.
  • Peserta skim TAP yang tidak sempat membuat caruman yang mencukupi sebelum bersara mandatori, mereka juga akan menerima manfaat daripada skim SCP dan untuk itu, Baginda Sultan bertitah yang baginda sudah memperkenankan supaya kerajaan memberi bantuan kepada kumpulan itu dalam bentuk caruman secara kebelakangan yang ditetapkan.
  • Baginda Sultan bertitah, umur baru persaraan dan pengenalan skim SCP itu adalah demi menjaga kebajikan tenaga manusia dalam perkhidmatan dan kerana itu kerajaan tidak memandang ringan terhadap hari-hari persaraan, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.
  • Mengenai proses pengambilan pekerja bagi mengisi sektor awam, Baginda Sultan bertitah tahun lepas saja tempoh antara enam dan lapan diambil untuk mengisi kekosongan sehingga menyebabkan kekosongan jawatan-jawatan baru dan persaraan meningkat kepada 5,000 jawatan.
  • "Pada hemat Beta, jika proses ini dapat dipendekkan, maka jumlah itu dengan sendirinya akan berkurangan, serta pemohon-pemohon tidaklah perlu menunggu begitu lama," titah baginda.
  • Baginda Sultan juga bertitah masanya juga tiba untuk agensi-agensi kerajaan menggubal dasar dan mengemukakan langkah-langkah bagi mencapai matlamat penggunaan tenaga secara efisien dan mengelakkan pembaziran walaupun Brunei adalah pengeluar minyak dan gas.
  • "Misalnya, pada setiap tahun agensi-agensi kerajaan menggunakan kuasa elektrik sehingga $68 juta setahun.
  • "Kalau pembaziran 10 peratus dapat dielakkan, bererti kita boleh menjimatkan sehingga $6.8 juta setahun," tegas baginda sambil menambah titah pendekatan negara-negara tertentu seperti Jepun, selaku pengguna tenaga yang sangat efisien perlu diteladani.
  • Berhubung isu kemiskinan pula, Baginda Sultan bertitah kerajaan akan terus meningkatkan usaha, sejajar dengan masa dan keadaan, misalnya pelaksanaan projek bantuan perumahan bagi golongan daif, fakir, dan miskin yang melibatkan usaha sama beberapa agensi kerajaan, badan korporat dan orang ramai iaitu selaku penyumbang dana melalui penunaian kewajipan zakat.
  • "Menyebut tentang zakat, Beta masih menunggu apa yang dibuat oleh pihak berkenaan mengenai beberapa perkara yang telah Beta timbulkan dalam Persidangan Majlis Ugama Islam enam bulan lalu," titah baginda.
  • Baginda Sultan bertitah menjelaskan salah satu dasar pengukuhan ekonomi ialah amalan jimat cermat dan budaya suka menabung dan baginda berharap institusi kewangan akan dapat menyediakan banyak lagi peluang dan cara untuk orang ramai boleh menabung dengan pulangan yang baik.
  • Baginda Sultan juga bertitah mencadangkan undang-undang atau peraturan diperkukuhkan lagi bagi mengelakkan rakyat dari diperdayakan oleh kegiatan-kegiatan yang salah, seperti skim cepat kaya.
  • Mengenai isu sempadan dengan Malaysia, Baginda Sultan bertitah antara komitmen penting kerajaan untuk menjamin kemakmuran dan keselamatan rakyat ialah apabila baginda dan bekas perdana Menteri Malaysia pada awal tahun ini menandatangani Surat-Surat Pertukaran (Exchange of Letters) mengenai pengehadan sempadan laut negara ini dengan Malaysia.
  • Melalui persetujuan itu, Brunei akan mempunyai hak kedaulatan ke atas pentas benua dan 200 batu nautika zon ekonomi eksklusif dan melaluinya, Baginda Sultan percaya negara akan menikmati hasil daripada eksploitasi hidrokarbon dan sumber-sumber maritim yang lain.
  • Peluang-peluang bermanfaat akan terbuka luas termasuk pelaburan, perniagaan dan pekerjaan, terutama yang memerlukan kepakaran, titah baginda.
  • Baginda Sultan bertitah menegaskan walaupun menghadapi dugaan dalam bentuk krisis kewangan global yang turut dirasai negara ini dan pandemik Influenza A (H1N1), negara akan terus bergerak kepada pembangunan.
  • Rancangan Kemajuan Negara RKN 2007-2012 adalah satu pakej yang membolehkan ekonomi negara berkembang, infrastruktur dibina dan pembangunan sosial ditingkatkan, titah baginda.
  • RKN 2007-2012 telah menyediakan $9.5 bilion untuk melaksanakan projek-projek pembangunan dan melalui RKN juga, kerajaan mengambil langkah untuk mempelbagaikan lagi ekonomi negara.
  • "Sebanyak $1.1 bilion disediakan untuk kemajuan perindustrian dan perdagangan. Tumpuan juga diberikan untuk memudahkan lagi kegiatan perindustrian serta untuk melahirkan pengusaha tempatan yang dinamik lagi progresif," titah baginda.
  • Sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan baginda tahun ini, Baginda Sultan bertitah melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat mereka kepada Baginda Sultan dan keluarga bersempena dengan sambutan itu.
  • "Kita di Brunei, sehubungan itu bersyukur, kerana negara terus menikmati suasana aman dan tenteram. Ini hendaknya menjadikan kita lebih beriltizam lagi untuk meningkatkan usaha memelihara kesejahteraan dan keselamatan yang berterusan dengan izin Allah," titah Baginda Sultan.

No comments:

Post a Comment